Tuesday, June 30, 2009

Mood Orally oral

Salam Sejahtera...

Kerja sangat banyak...berlambak....bukan berembak ye (sambil jeling mata kat orang london itu).

Petang tadi baru selamat menghantar satu full paper ke conference di Kuching itu, Alhamdulillah. Tapi dalam masa yang sama satu peluang untuk present paper di Veterinary Association Malaysia Congress di PD terpaksa dikorbankan, masalah bajet u ollss!!! Sedih sebab ingatkan dapat join VAM congress ni every year, tapi tahun ni gagal untuk bersama-sama orang-orang yang terlibat dalam kajian haiwan ni... hehehehe...takpe la... rezeki ke conference lain kot...

Tadi terfikir juga, labwork still ada yang belum selesai dan menuntut fokus aku untuk segera siapkan, tapi sibuk je nak pergi present sana sini... mood excited nak present oral je sekarang ni..huhuhu.... apa ke halnya!!!!

Anyway, thanks a lot kat orang Armidale dan orang London atas bantuan kalian dalam proses aku siapkan full paper tadi.. thanks u olls.... muahhhhhhhhh!!!!


~ yoe menulis dengan doa semoga Allah sentiasa memberi kita yang terbaik...

Monday, June 29, 2009

Suka ayat Ini

Salam Sejahtera...



IF SOMEONE'S MEANT TO BE YOURS, EVENTUALLY THEY WILL BE
- Anisha Carpenter




Ini sahaja untuk kali ini.... xde mood nak menulis apatah lagi untuk mengarang ayat...

~ yoe menulis yang pendek!

Thursday, June 25, 2009

Aku main-main????

Salam Sejahtera...


Agaknya kamu sangka aku main-main
Sebab itu kamu pilih dia
Aku doakan kamu bahagia
Walaupon dalam hati kecewa
Tiap kali kamu terluka
Bahu ku sedia untuk air mata kamu
Itu tanda kamu masih ku tunggu
Seandainya kelak kamu dikecewakan lagi
Seperti yang dulu-dulu...
Aku sedia bersama kamu
Selamanya
Saat itu mungkin kamu baru sedar
Aku tidak pernah main-main...


~ yoe menulis dengan tabah sambil menghirup ice-blended green tea yang berwarna hijau!!!

Monday, June 22, 2009

Pasti mendatanG jua

Salam Sejahtera

Sekarang otak sedang buntu..... idea dan ilham tidak kunjung tiba.... padahal ada dua kertas saintifik yang perlu disiapkan dan dihantar hujung bulan ini yang akan muncul dalam masa 4,5 hari lagi... Ya Tuhanku.... tolonglah aku....

Tengah-tengah kegersangan idea ini, terlintas pulak beberapa perkara dalam benak fikiran aku....

Kadang-kala kita mudah berasa cemburu dengan apa yang dimiliki orang di sekeliling kita, dalam masa yang sama, kita lupa untuk bersyukur dengan apa yang telah Tuhan berikan kepada kita.... Terkadang, kita cuba untuk memiliki segalanya seperti yang orang di sekeliling kita miliki.... namun kita lupa segalanya adalah percaturan dari Yang Maha Kuasa.... seandainya Dia tidak mengizinkan, berbuatlah kita apa pon, nescaya tidak akan mendapat apa yang kita hajati itu.... tetapi jika sudah tertakdir atas batu jemala kita sesuatu itu, maka lambat atau cepat, beroleh jua..... sesuatu itu terjadi pasti atas izinNya dan kehendakNya dengan setiapnya memiliki alasan yang telah ditetapkan olehNya sejak dari azali lagi....

Tapi sebagai manusia yang imannya turun dan naik setiap masa, terkadang tidak lepas dari lalai dan leka.... mata berkelip tidak, tika melihat bahagia dan jaya orang lain lantas hati berkata " seronoknya anda" seiring dengan rasa cemburu dan kepingin yang amat sangat untuk miliki punya yang serupa.... tanpa kita sedari dalam masa yang sama itu, terdapat jua orang lain yang menutur kata yang sama seperti itu terhadap diri kita atas apa yang ada pada kita tapi tiada pada mereka.... itu lah lumrah alam.... Tuhan itu Maha Adil sifatnya dan Maha Mengetahui setiap kejadian.... doa dan usaha hendaklah seiring sebelum redha dengan ketentuanNya....

Itu kehendak kita, tetapi jika kehendak itu bisa membuatkan kita hanyut dari jalanNya, pasti Dia akan jauhkan kerana sayang dan kasihnya Dia pada kita..... janganlah pula kita mudah berasa sedih dan kecewa... kerana hidup ini indah, dan segala apa yang berlaku, hadapilah dengan senyuman.....

Jika itu untuk kita, pasti mendatang jua.... bila waktunya, tunggu sahaja.... esok atau lusa... mungkin juga seminggu dua.... entah lah...


~ yoe menulis tentang sesuatu yang terlintas ketika dalam kesejukan di petang hari tadi....

Jasa tidak Terkira

Salam Sejahtera...

Peristiwa di hadapan mata aku zahirkan di sini..........

Ketika singgah solat zohor di surau Suria KLCC tengahari tadi, ada pemandangan yang menyentuh hati... Ada 3 beranak; seorang bapa dan 2 orang anak yang solat berjemaah. Seusai solat mereka, maka berdoalah mereka anak beranak... Sebaik saja tangan dipekup ke muka maka bersalam-salaman lah mereka anak beranak lalu berciuman lah mereka dengan penuh kemesraan antara bapa dan anak, kucupan hormat singgah di pipi serta dahi dengan bersulam kasih dan sayang yang aku kira tidak ternilai harganya. Tanpa mempedulikan apa kata orang, mereka seronok melakukan itu semua walaupon mungkin ada yang segan untuk melakukannya antara bapa dan anak di hadapan orang, tetapi mereka anak beranak itu tidak.... Aku sungguh seronok melihat itu.... sejuk mata melihat mereka....

Lantas teringat kepada bapa di kampung yang ku panggil Abah...

Abah..jasanya tidak terkira... pagi menoreh getah, petang ke ladang sawit, mencari rezeki demi isteri dan kami 5 orang adik beradik.... sungguh tidak mampu untuk aku membayar segala jasa abah walau tidak pernah sekali pon abah minta, justeru kepada Allah Rabbul Jalil jua ku panjatkan doa agar dianugerahkan sebesar-besar rahmat dan syurga buat abah kelak... InsyaAllah.....

Buat abah, Tn. Hj. Lokman Samsuri.... seribu penghargaan buatmu.... Semoga panjang umur...

~~ yoe menulis tentang abah ketika berada di Serdang.... Selamat Hari Bapa...

 

Wednesday, June 17, 2009

Antara Study & Ulser

Salam Sejahtera...

Lama x update blog... sebab berada di kampung dan sedikit sibuk membuat preparation last minute for my exam this coming saturday!!!!

So di kesempatan ini, mohon doa dari teman-teman yang mengenali agar aku bisa menjalani peperiksaan IELTS ku dengan mudah dan di beri ilham dari Yang Maha Bijaksana... Mudah-mudahan usahaku diberkati Allah...

Study sampai larut malam ditambah dengan cuaca panas yang tidak terkira menyebabkan mulut disinggahi ulser.... dari 2 biji sekarang dah ada 4 biji ulser bermusafir dalam mulut... kiranya ulser-ulser itu tidak boleh solat jama' lagi kerana telah lebih hari yang dibolehkan untuk mereka jama'..... Sebelah kanan mulut ni dah rasa macam bengkak, maklum lah, kesemua ulser tadi seolah-olah berpakat pulak untuk menyerang hanya sebelah kanan mulut aku... dari pinggir bibir, ke dinding mulut, ke bahagian gusi dan ke bahagian bawah lidah...semuanya di sebelah kanan mulut.... Bukan tidak menjaga kebersihan, tapi ku akui sememangnya aku kurang minum air masak lately ni...

Selepas menulis ini, aku akan ke farmasi untuk membeli segala ubat yang ada untuk segera merawati ulser-ulser ini...Semoga tidak mengganggu fokus aku untuk exam nanti.... dan semoga tidak menghalang segala kerja yang telah dirancang di KL nanti...wah gitu!!!!!

Okay la... buat teman-teman di KT, chow chin chau.... rindu aku tak??? wahahahaha...

~ yoe menulis dengan mengharapkan doa dari kalian untuk kejayaan exam aku.... InsyaAllah... sambil menghirup white coffee di Old Town White Coffee Temerloh..

Thursday, June 11, 2009

Keluhan pemuda Buta

Salam Sejahtera...

Memetik keluhan kata dari seorang pemuda yang buta...

Dia kata
Walaupon hingga kini
Dirinya masih bisa menerima panasnya matahari
Tidak akan sama dengan matahari yang dulu
Pertama di hati

Balas aku
Usah dibandingkan bahang keduanya
Rasakan saja limpahan itu
Sekurang-kurangnya
Matahari masih muncul lagi

~ yoe menulis sambil tetap menunggu matahari esok

Wednesday, June 10, 2009

Kisah Timun batanG

Salam Sejahtera...

Sila tinggalkan blog ini jika anda tidak dapat menerima sedikit lelucon yang disulami secebis unsur-unsur nakal... ahaks.... ala, sikit je pon, lagi pon, bukan selalu kan.... ini adalah berdasarkan cerita yang disampaikan oleh teman aku dan aku mendengarnya dari mulutnya sediri...


Di suatu pagi di kedai runcit;

Suasana - seorang Pakcik A sedang memilih timun batang untuk dibeli.... sambil diperhatikan oleh anak lelaki tokey kedai yang kacak bergaya saling tak tumpah seperti David Archuleta.

Anak tokey: Beli timun batang, pakcik??

Pakcik A: Ha ah.... besar-besar timun batang ni.... (sambil mengambil sebatang timun batang yang besar dan panjang, lalu berkata kepada anak tokey kedai itu) Kamu 'punya' ada macam ni tak?????

Anak tokey: gulpppp..... (bunyi menelan air liur sambil berkata) Eh, saya punya kecik lagi pada tu.... tu besar sangat tu pakcik!!!!!

Moral of the story: kalau aku jadi anak tokey tu, mesti aku laser pakcik tu dengan jawapan yang lagi nakal.... Baik sungguh jawapan anak tokey tu kan...suci murni!!

Timun batang, baik untuk kesegaran mata.... tiba-tiba...

~ yoe menulis cerita yang keluar dari mulut temannya....

Tuesday, June 9, 2009

Rasa dalam Hati

Salam Sejahtera

Tulis main-main untuk rehatkan minda yang agak tertekan seraya ingin meraikan ilham yang datang...

Hari itu
Jiwa ada rupa
Seronok tidak terkira
Melayari apa yang ada
Bersama

Hari ini
Mereka ku cinta
Seronok ada
Namun berbeza
Rasanya

Bahagia
Mereka punya
Sepi
Aku tuannya
Rasa dalam hati
Ingin punya seperti mereka


~ yoe menulis di bawah library dengan dibuai angin-angin manja tiupan Sang Pemberi Cinta............. membuai rasa....

Sunday, June 7, 2009

MunGkin akan Cuba

Salam Sejahtera...

Seperti biasa, kalau bab-bab alam sekitar ni, memang aku mudah terpanggil sikit. Ini termasuklah bila kita berbicara tentang pemanasan global. Masalah ini sangat menakutkan semua...betul tak?? Terasa kan kepanasannya sekarang....

Faham tak maksud foto ini?????

Antara penyebab kepada fenomena ini adalah pelepasan gas toksik daripada penggunaan bahan pembersih di rumah. Berhubung perkara ini, tadi aku ada terdengar satu bingkisan berita dalam Buletin Utama di TV3 mengenai satu kempen yang dilancarkan oleh pihak FRIM - Kempen kitar semula sayur dan kulit buah-buahan yang dibuang sebagai bahan agen pembersih.

Nak tau cara dia...senang je:

1. Dapatkan sayur-sayuran yang tidak boleh digunakan lagi dan kulit buah-buahan yang telah dikupas
2. Masukkan dalam botol yang berisi air (sukatan air ikut kesesuain)
3. Tambah sedikit gula melaka
4. Kemudian sila peram campuran ini selama 3 bulan
5. Selepas 3 bulan, campuran ini akan bertindak sebagai agen pembersih dan boleh digunakan sebagai bahan pencuci untuk mencuci kawasan di sekeliling rumah seperti mencuci longkang dan sinki



Menurut pihak FRIM, campuran semulajadi ini tidak menghasilkan sebarang gas berbahaya dan tidak menyumbang kepada pemanasan global... InsyaAllah.

~ yoe menulis dengan ada rasa untuk cuba menyahut kempen ini... mungkin akan cuba.

Saturday, June 6, 2009

Sunnah oranG BerjuanG

Salam Sejahtera...

Ketika ini sedang study english for my IELTS exam which is just around the corner ... sambil tu layan lagu nasyid kat http://www.imeem.com, syok jugak layan nasyid awal-awal pagi ni... tenang hati...



Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, resah silih berganti
Inilah sunnah..orang berjuang..

- lirik nasyid nostalgia


~ yoe menulis dengan merasa indahnya perjuangan menuntut ilmu-Nya...

Friday, June 5, 2009

Rasa Kesal Aku

Salam Sejahtera...

Hari ini hari Jumaat, penghulu segala hari. Seperti biasa, sebagai kaum Adam, tak lepas daripada pergi menunaikan solat jumaat di masjid.

Hari ini, tukar selera..pergi solat di masjid sebuah kampung yang berhampiran dengan rumah (nama masjid dirahsiakan). Ada sedikit kekesalan terhadap beberapa perkara di sini:

Pertama; sistem audio (PA system) yang SANGAT menyedihkan. Takkan la nazir masjid dan jawatankuasa masjid tak notis perkara macam ni... Tidak dipanjangkan kepada ADUN kawasan atau sekurang-kurangnya Penghulu kampung. Kalau Masjid Kristal boleh dibina, takkan la sistem audio untuk sebuah masjid kampung tak boleh disediakan dengan sempurna.

Kedua, keadaan imam yang membaca khutbah itu seolah-olah telah sampai usianya untuk berehat. Bukan menidakkan jasa dan ilmu agamanya, namun keadaan fizikal dan kesihatannya telah menjadikan bacaan khutbah itu tersangkut-sangkut dan sangat perlahan.

Tulisan tidak bermaksud menghina atau merendah-rendahkan sesiapa pun. Sekadar berkongsi idea dan merintih perhatian pihak yang berautoriti terhadap kebajikan Rumah Sang Pencipta yang bisa menghimpunkan sekalian hamba-Nya sekurang-kurangnya pada hari Jumaat yang mulia.

Walaupon kesal, tetap kena senyum pada hari Jumaat!!!!

~ yoe menulis dan menzahirkan rasa kesal.

Wednesday, June 3, 2009

Ada Luka di Jari

Salam Sejahtera...

Ketika ini aku menukilkan rasa hati dengan menekan kekunci komputer riba sambil ada jari yang terangkat menahan sakit akibat luka terhiris pemotong tajam di Makmal Histologi tadi.


Sakit
Perit rasa
Ada luka di jari
Merah darahnya terbit
Segera diubati agar selamat
Mudahnya merawat luka yang zahir
Senyuman terukir melihat jari sediakala
Memori lalu bertandang sayup sendirinya
Sukarnya merawat itu lalu terkenang
Lamanya masa tercuri ada
Cuba mengelap semua
Merah darah luka
Yang bertamu
Di hati


~ yoe menulis tentang luka zahir..... dan batin!

Monday, June 1, 2009

Gemuruh dalam Jiwa

Salam Sejahtera...

Gembira melihat orang lain gembira.....

Ada gemuruh dalam jiwa
Ada harapan yang terbina
Gembira itu tempiasnya terasa
Mengetuk pintu sepi yang kian terbina
Seakan-akan aura rindu tidak lagi menyeksa jiwa
Sekurang-kurangnya untuk sekali ini
Ada suara dalam hati
Sayup terdengar
Katanya
Tewas sekali tidak bermaksud tewas selamanya
Saat tewas kali kedua
Bukan bermaksud kebahagian tidak sudi bersua
Cuma mungkin belum tiba waktu dan ketikanya
Untuk kesetiaan dan kesederhanaan ini
Terulit dengan kehebatan cinta
Yang mungkin lebih hebat
Dari yang sebelum ini


Namun, sesuatu yang aku pasti... sangat pasti.. adalah bahawa cinta kepada Sang Pemberi Cinta adalah Maha Hebat mengatasi segala jenis cinta yang ada di atas muka bumi ini... sungguh sekali!

~ yoe bukan sedang menulis ayat-ayat cinta.....